""Hidup beri kita beratus alasan utk menangis, Allah beri kita beribu kekuatan untuk tersenyum!.""

Monday, August 13, 2007

Hati Menjadi Keras...


Rasulullah s.a.w. pada penghujung hayatnya, pernah memanggil menantu merangkap sepupu baginda iaitu Sayidina Ali bin Abi Talib. Baginda mewasiatkan kepadanya:

Wahai Ali! Jika berlalu di kalangan orang Islam 40 hari (sahaja), mereka tidak hadir dan duduk dalam majlis ilmu (fardu ‘Ain), maka orang itu akan menghadapi dua akibat buruk. Pertama hatinya menjadi keras (sukar untuk menerima petunjuk llah atau segala kebaikan) dan kedua berani pula melakukan dosa-dosa besar.


Insan bernama Muslim hari ini tidak berapa mempedulikan persoalan agama mereka sendiri. Sudahlah tidak mahu jadi orang yang faham agama, melakukan dosa-dosa pula. Si suami membiarkan isteri keluar rumah tanpa berhijab (tudung kepala). Si ayah pula membiarkan anak gadis tidak berhijab dan menampakkan pusat-pusat mereka. Anak lelaki tidak mengnal huruf-huruf al-Quran dan ada yang tidak tahu mandi junub (hadas besar atau mandi wajib).

Kesemua itu adalah implikasi daripada tidak hadir dan duduk dalam majlis-majlis ilmu.
Ada antara para ibu bapa Muslim seronok melihat anak-anak mereka berjaya dalam bidang hiburan, daripada menyertai bidang nyanyian peringkat dewasa hinggalah ke peringkat bakat bintang kecil. Apa yang pasti penampilan anak-anak ini dengan pakaian yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak, tetapi semua itu tidak dipedulikan oleh mereka yang bernama Islam.
Seolah-olah Islam tidak boleh dicakap-cakap jika hendak maju dalam pelbagai bidang dalam kehidupan dunia.


Tetapi mereka lupa, bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda maksudnya, “Sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia, mestilah dengan ilmu (agama), jika dia mahu kejayaan di akhirat juga mestilah dengan ilmu, dan jika mahu kedua-duanya sekali mestilah dengan ilmu.”

Apabila ilmu agama tidak menjadi teras dan sandaran dalam kehidupan orang Islam pada zaman ini. Maka mereka sebenarnya telah mengundang pelbagai masalah seperti terlibat dengan rasuah, keruntuhan moral serta harga diri, tidak berakhlak, meninggalkan solat, penagihan dadah, mentadbir negara bukan dengan hukum Allah, dan semua masalah itu tidak akan dapat diselesaikan kecuali menerima penyelesaiannya daripada Allah juga, iaitu pelaksanaan hukum-hukum Islam dan Sunnah (hadis) Nabi Muhammad s.a.w.

Tanpa pelaksanaan hukum-hukum Islam itu menandakan bahawa manusia menolak Allah yang telah menawarkan yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara mereka.
Mereka tidak akan bercakap mengenai mati, bekalan untuk hari akhirat, persoalan alam kubur apatah lagi mengenai nasib di penghujung hayat, sama ada boleh mengucap dua kalimat syahadah atau pun tidak, semua ini tidak ada dalam kamus kehidupan manusia hari ini, kerana mereka sudah semakin jauh daripada Allah walaupun mereka dilahirkan sebagai seorang muslim.

No comments: