""Hidup beri kita beratus alasan utk menangis, Allah beri kita beribu kekuatan untuk tersenyum!.""

Sunday, September 30, 2007




Apabila tibanya bulan Ramadan Al-Mubarak, Rasulullah s.a.w. menyampaikan ucapannya, yang bermaksud: “Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang mulia, padanya satu malam yang kelebihannya lebih baik daripada 1,000 bulan, bulan yang pada awalnya kerahmatan, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.”

Fadilat Lailatul Qadr


Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :
"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :
"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :
"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)."

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih, Insya Allah.

Fokus umat pada malam tersebut


Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah
Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr.....

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Friday, September 28, 2007

Hikmah dirahsiakan kehadiran Lailatul-Qadar

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.
Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."
Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

( Sumber: Ustz Zainudin Hashim)

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam Lailatul-Qadar



Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.


Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.


Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya:


"Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."




Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.


Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)


Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr


Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

Sumber: Ustz Zainudin Hashim

Thursday, September 27, 2007

Lailatul Qadr: Malam misteri yang dirindui kedatangannya...


Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu hadapan, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.

Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .



( Sumber: Ust Zainudin Hashim)

Sunday, September 23, 2007

Madrasah Ramadhan


Ramadan telah melahirkan dua jenis manusia yang mempunyai cara berbeza dalam penampilan mereka selepas Ramadan, justeru marilah sama-sama kita renung secara mendalam untuk kita tentukan golongan mana yang patut dicontohi.

Golongan Pertama:
Golongan yang dapat disaksikan dalam bulan Ramadan begitu ghairah melakukan apa ahaja amal ibadat selagi sanggup melakukannya, solat ketika orang lain juga bersolat, rukuk, sujud, bertadarus dengan berlinangan air mata kerana takutkan azab Allah ketika membaca al-Quran.

Agak sukar untuk melihat dalam diri mereka akhlak yang terkeji, kerana satu bulan Ramadan diisi dengan pelbagai ketaatan kepada Allah, menjauhkan diri dari segala maksiat dan perkara yang melalaikan.

Namun setelah sebulan dua ditinggalkan Ramadan, ketaatan, ibadat dan segala apa yang dilakukan hanya menjadi kenangan manis yang berlalu pergi bersama pertukaran bulan-bulan yang lain, surau dan masjid bukan lagi menjadi tempat destinasi persinggahan, al-Quran bukan lagi menjadi bahan bacaan harian, bulan berganti bulan hingga terbit Ramadan pada tahun berikutnya, inilah golongan yang hanya beribadat secara bermusim, seolah-olah Allah hanya wujud di bulan Ramadan sahaja, sedangkan pada bulan-bulan yang lain kehangatan beribadat semakin pudar.

Golongan Kedua :
Golongan yang merasa amat gembira dengan kedatangan Ramadan dan merasa hiba dengan pemergian bulan yang mulia ini, kerana mereka merasa seronok dengan kemanisan dan janji-janji yang ada padanya.

Ramadan bagi mereka adalah peluang untuk menambah koleksi pahala sebanyak mungkin, kerana mereka mengetahui, bahawa Ramadan bulan kesabaran, persamaan, berkasih-sayang, terpadat padanya Lailatul Qadr, solat Tarawih, rahama, keampunan, pelepasan dari api neraka, Nuzul al-Quran, tadarus, tazkirah, pengeluaran Zakat Fitrah, peristiwa Badr al-Kubra, pembukaan kota Mekah dan seribu macam pahala yang tersedia untuk direbut.

Mereka beramal dengan sepenuh hati bagi menjana diri sebagai hamba-hamba Allah yang bertakwa menerusi ibadat puasa, mereka akan menangis jika Ramadan hampir melabuhkan tirainya kerana mungkin tidak akan bertemu dengannya pada tahun-tahun yang mendatang.

Kesimpulannya
Terserah kepada anda untuk menentukan kedudukan yang mana satu yang harus anda pilih di antara dua golongan yang disebutkan di atas. Andalah sebagai hakim untuk memastikan masa depan di akhirat lebih terjamin untuk mendapatkan syafaat baginda Rasulullah s.a.w ketika ada di kalangan manusia yang tercicir namanya dalam senarai mereka yang dimasukkan dalam syurga Allah yang kekal abadi dengan segala nikmat yang membahagiakan.
( Tazkirah Ramadhan: Ustz Zainudin Hashim)

Wednesday, September 19, 2007

Tip Khusyuk Semasa & Selepas Solat


Antara tip untuk khusyuk lagi ialah:
1) Ketika solat kita mesti beritahu hati betapa bahayanya sekiranya kita tidak khusyuk. Kerana kalau tidak khusyuk nanti solat tidak punya upaya mengubah perangai dan akhlak buruk yang kita lakukan.Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya solat itu boleh mencegah fahsya dan mungkar.” Kalau masih berterusan berdosa kita dalam keadaan bahaya. Dosa ke neraka. Solat tapi tak berubah adalah bahaya.

2) Kita mesti hadirkan tiga rasa iaitu al-tolab (dalam solat kita hendak minta-minta dengan Allah.) Sebab itulah bacaan dalam solat semuanya ada unsur meminta dengan Allah, seterusnya kena ada rasa al-khudhu iaitu rasa hina diri, apabila rukuk rasa hinanya diri lebih-lebih lagi ketika sujud, kemudian kena ada rasa al-takzim (betapa agungnya Allah).

3) Kena ada rasa bertemu dengan al-Rasul terutama ketika membaca tasyahud. Ayat yang kita baca assalaamualaika...seolah kita berada di hadapan nabi.

4) Bacaan tasyahud juga perlu digambarkan seolah kita sedang menghadap Allah. Bacaan inilah yang dibaca oleh al-Rasul ketika menghadap Allah ketika peristiwa Israk dan Mikraj.

5) Dalam sebuah hadis Allah sangat berbangga apabila mendapati solat hamba-Nya yang khusyuk. Jadi beritahu hati kita betapa kecewanya Allah kalau kita main-main dalam solat.

Antara tip khusyuk solat selepas selesai solat ialah:

1) Kita hendaklah banyak membaca istighfar selepas selesai solat. Minta ampun kepada-Nya segala kelalaian ingatan dan perbuatan.

2) Jangan lupa berdoa lagi supaya Allah beri kekuatan untuk bersolat lebih berkualiti pada solat yang akan datang.

3) Kita juga jangan lupa perkataan salam yang kita baca sebagai penutup solat adalah janji kita mahu jadi orang yang akan menunaikan segala ikrar yang kita ucapkan ketika solat. Salam juga maknanya kita hendak menjadi orang yang selamat dan menyelamatkan. Cakap kita tidak mengganggu orang, perbuatan kita tidak menyusahkan orang, dengan kita keluarga selamat, syarikat selamat, negara selamat dan selamat dunia akhirat.

4) Barang diingat tanda utama solat yang khusyuk ialah akhlak yang baik. Jika solat banyak tetapi akhlak tidak berubah itu indikator solat tak betul. Semoga kita khusyuk dalam solat.

( Sumber: Hmetro:Ustz Zawawi Yusoh – UIA)

Amalan Pada malam Lailatul-Qadar

Amalan-amalan yang diamalkan pada malamnya:
Mulai jam 12.00 tengah malam:
1. Sembahyang sunat wudhuk.
2. Sembahyang sunat hajat berdoa minta dipertemukan Allah dengan malam Lailatul Qadar.
3. Membaca al-Quran.
4. Istighfar:
5. Zikrullah:
6. Bertasbih:
7. Selawat:
8. Sembahyang sunat tahajjud.
9. Sembahyang sunat tasbih.

Orang yang bertemu dengan Lailatul Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri oleh para malaikat (sebentar sahaja). Berdoalah:

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemaaf lagi Pemurah, yang suka memberi kemaafan, maka maafkanlah aku."

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa beribadat sesaat pada malam Qadar, kira-kira selama seorang penggembala memerah susu kambingnya, maka adalah lebih disukai Allah daripada berpuasa setahun penuh.

Demi Allah yang telah mengutus daku dengan hak menjadi nabi, sesungguhnya membaca satu ayat dari al-Quran pada malam Qadar adalah lebih disukai Allah daripada mengkhatamkannya pada malam-malam yang lain.

"Dari Aisyah r.a bahawa dia mengatakan, aku bertanya: "Ya Rasulullah, kalau aku bertepatan dengan malam Qadar, maka apakah yang patut aku baca? Jawab Rasulullah s.a.w.: Ucapkanlah doa:

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemaaf lagi Pemurah, yang suka memberi kemaafan, maka maafkanlah aku."

( Sumber Berita Harian:Amalan Pada malam Lailatul-Qadar-Klik Khas)

Tip Sihat Ramadhan

'Elak ambil lebih gula sepanjang Ramadan'

MENJELANG Ramadan, diet kita bertukar dengan ketara. Hidangan menjadi lebih berat pada sebelah pagi dan malam, tanpa pengambilan makanan antara dua waktu itu pada tempoh yang panjang. Perubahan dalam diet bukannya dapat diterima dengan baik oleh semua orang.

Sesetengahnya akan mengalami penumpuan kurang baik dan keletihan ketika berpuasa. Antara sebabnya adalah kerana kandungan gula darah yang rendah dan tekanan darah rendah. Antara gejala kandungan gula darah rendah ialah lemah, pening, keletihan, penumpuan fikiran kurang baik, berpeluh dengan melampau, menggigil, sakit kepala dan jantung berdegup dengan cepat.

Elakkan mengambil terlalu banyak gula iaitu karbohidrat yang diproses terutama pada waktu sahur. Badan menghasilkan terlalu banyak insulin sehingga menyebabkan glukosa darah menurun. Bagi mengelakkannya, ambil karbohidrat kompleks dan makanan yang boleh dihadam secara lambat khususnya mengandungi bijian dan biji seperti barli, gandum, oat, semolina, kekacang, dal, tepung gandum penuh dan beras tidak diproses pada waktu sahur dan hadkan pengambilan makanan dan minuman bergula.

Gejala yang berkaitan dengan tekanan darah rendah ialah berpeluh dengan melampau, kelemahan, keletihan, kekurangan tenaga, pening terutama ketika ingin bangun berdiri daripada tempat duduk, kelihatan pucat dan berasa ingin pitam.

Keadaan ini cenderung untuk berlaku apabila hampir ke waktu petang. Antara sebab biasa termasuk pengambilan air dan garam yang terhad. Untuk kekalkan rasa sejuk, perbanyakkan pengambilan air dan garam (untuk mereka yang tiada darah tinggi).

TIP: Kesihatan Ramadan ELAKKAN:
Makanan berlemak dan bergoreng.
Makanan yang mengandungi terlalu banyak gula.
Makan terlampau banyak terutama waktu bersahur.

MAKAN:
Karbohidrat kompleks pada waktu sahur kerana ia berada dalam perut lebih lama dan anda tidak cepat lapar.
Pisang ialah sumber yang bagus untuk kalium, magnesium dan karbohidrat.
MINUM:
Sebanyak mungkin air atau jus di antara berbuka dan masa tidur supaya badan anda dapat menukar tahap bendalir dalam masa yang ditetapkan.

( Sumber: Berita Harian-20/09/07)

Tuesday, September 11, 2007

RENUNGAN...

Betapa jauh kumusafirkan diri
Menyongsong awan membelah sinar mentari
Ke dalam diri, mencari erti!
Terjatuh tersungkur terhukum
Menongkah arus menyelam mencari mafhum
Di dalam diri, Kasih-Mu harum!
Engkau ada Engkau dekatTanpa tali, kasih-Mu tetap erat
Hamba jauh hamba melaratTanpa taat, hilanglah sumber berkat.
Keletihan hamba mencari,
Engkau di sini
Di dalam hati!

Kejauhan hamba mencari, Engkau di sini
Mendeyutkan nadi!
Harum sinar mentari cahaya bulan
Kasih-Mu selamanya dalam kekekalan
Keertian menyingkap sebuah pencarian
Menjadi satu pada pertemuan.
Tuhan,Hamba mencari-Mu bila batin tak menemui
Terlindung cahaya-Mu di balik tabir duniawi
Rupanya, pemisah kita hanya ilusi
Yang mengaburi matahati!

Monday, September 3, 2007

Lembaran Hidup Wanita Solehah


Lembaran Hidup Wanita Solehah



Mampukah aku menjadi seperti Siti Khatijah?
Agung cintanya pada Allah dan Rasulullah
Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabilillah
Penawar hati kekasih Allah

Susah dan senang rela bersama...
Dapatkah ku didik jiwa seperti Siti Aishah?
Isteri Rasulullah yang bijakPendorong kesusahan dan penderitaan

Tiada sukar untuk dilaksanakan...
Mengalir air mataku
Melihat pegorbanan puteri solehah Siti Fatimah
Akur dalam setiap perintah
Taat dengan abuyanya, yang sentiasa berjuang
Tiada memiliki harta dunia

Layaklah dia sebagai wanita penghulu syurga...
Ketika aku marah
Inginku intip serpihan sabar
Dari catatan hidup Siti Sarah....

Tabah jiwakuSetabah ummi Nabi Ismail
Mengendong bayinya yang masih merah
Mencari air penghilang dahaga
Di terik padang pasir merak

Ditinggalkan suami akur tanpa bantah
Pengharapannya hanya pada Allah
Itulah wanita Siti Hajar....

Mampukah aku menjadi wanita solehah?
Mati dalam keunggulan iman
Bersinar indah, harum tersebar
Bagai wanginya pusara Masyitah....