'Elak ambil lebih gula sepanjang Ramadan'
MENJELANG Ramadan, diet kita bertukar dengan ketara. Hidangan menjadi lebih berat pada sebelah pagi dan malam, tanpa pengambilan makanan antara dua waktu itu pada tempoh yang panjang. Perubahan dalam diet bukannya dapat diterima dengan baik oleh semua orang.
Sesetengahnya akan mengalami penumpuan kurang baik dan keletihan ketika berpuasa. Antara sebabnya adalah kerana kandungan gula darah yang rendah dan tekanan darah rendah. Antara gejala kandungan gula darah rendah ialah lemah, pening, keletihan, penumpuan fikiran kurang baik, berpeluh dengan melampau, menggigil, sakit kepala dan jantung berdegup dengan cepat.
Elakkan mengambil terlalu banyak gula iaitu karbohidrat yang diproses terutama pada waktu sahur. Badan menghasilkan terlalu banyak insulin sehingga menyebabkan glukosa darah menurun. Bagi mengelakkannya, ambil karbohidrat kompleks dan makanan yang boleh dihadam secara lambat khususnya mengandungi bijian dan biji seperti barli, gandum, oat, semolina, kekacang, dal, tepung gandum penuh dan beras tidak diproses pada waktu sahur dan hadkan pengambilan makanan dan minuman bergula.
Gejala yang berkaitan dengan tekanan darah rendah ialah berpeluh dengan melampau, kelemahan, keletihan, kekurangan tenaga, pening terutama ketika ingin bangun berdiri daripada tempat duduk, kelihatan pucat dan berasa ingin pitam.
Keadaan ini cenderung untuk berlaku apabila hampir ke waktu petang. Antara sebab biasa termasuk pengambilan air dan garam yang terhad. Untuk kekalkan rasa sejuk, perbanyakkan pengambilan air dan garam (untuk mereka yang tiada darah tinggi).
TIP: Kesihatan Ramadan ELAKKAN:
Makanan berlemak dan bergoreng.
Makanan yang mengandungi terlalu banyak gula.
Makan terlampau banyak terutama waktu bersahur.
MAKAN:
Karbohidrat kompleks pada waktu sahur kerana ia berada dalam perut lebih lama dan anda tidak cepat lapar.
Pisang ialah sumber yang bagus untuk kalium, magnesium dan karbohidrat.
MINUM:
Sebanyak mungkin air atau jus di antara berbuka dan masa tidur supaya badan anda dapat menukar tahap bendalir dalam masa yang ditetapkan.
( Sumber: Berita Harian-20/09/07)
Wednesday, September 19, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment