Baginda Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik khususnya dalam menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan dan contoh yang berjaya dalam melaksanakan tuntutan pelbagai jenis ibadat sebagai pengajaran kepada umatnya bagi mendapatkan tempat yang selesa di sisi Allah SWT pada hari kiamat.
Di mana terdapat tujuh jenis golongan manusia yang berjaya mendapat tempat di sisi Allah kerana melakukan amalan berdasarkan ilmu pengetahuan yang diwariskan oleh baginda kepada mereka.
Kejayaan mereka itu untuk beramal dengan amalan-amalan yang baik menurut syarak adalah disebabkan ketekunan mereka untuk bergaul dengan insan-insan yang memiliki budi pekerti yang baik, apatah hubungan yang intim dengan Allah SWT selaku Pencipta seluruh alam.
Perkara ini ada ditegaskan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud: "Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Tuhannya, sama ada di waktu pagi, tengahari, petang, senja dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu kedua matamu berlaing dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini, dan janganlah kamu menuruti orang yang telah Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami serta menuruti hawa nafsunya, kerana sesungguhnya seluruh hidup mereka adalag melampaui batas (agama)."
Itulah jalan bagi memastikan kedudukan iman, pegangan serta kepercayaan terus utuh melalui persahabatan dengan orang-orang yang boleh mengingatkan kita kepada Allah SWT, bukan sekadar itu, malah mencemburui serta memburu tempat di akhirat seperti tujuh golongan yang terselamat daripada ditimpa panas terik matahari sejengkal di atas kepala.
Rasulullah s.a.w ada menegaskan mengenai tujuh golongan tersebut menerusi sabdanya yang bermaksud: "Tujuh golongan dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; mereka itu ialah: Pemerintah yang adil, remaja (lelaki atau perempuan) yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang digoda oleh seorang perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitiskan air matanya kerana mengingatkan sifat Mulia dan sifat Agung Allah." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Jelas dari apa yang disabdakan oleh baginda dalam hadis tersebut di atas, memberitahu kita bahawa golongan yang disebut itu adalah mereka yang benar-benar melaksanakan tuntutan ajaran agama Islam dalam hidup mereka, justeru mereka dianugerahkan balasan yang baik dari
Allah setimpal dengan apa yang telah disumbangkan untuk kebaikan Islam.
Bukan mudah untuk menjadi hamba Allah yang sanggup berkorban demi Allah dalam segenap tuntutan kehidupan, apatah lagi terpaksa berhadapan dengan ujian yang mesti dilalui seperti yang dialami oleh tujuh golongan di atas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment