""Hidup beri kita beratus alasan utk menangis, Allah beri kita beribu kekuatan untuk tersenyum!.""

Tuesday, October 2, 2007

Janji-janji Allah pada hamba-Nya


Ramadan juga merupakan bulan muhasabah untuk kita melihat sekadar mana daya juang kita dalam menangani cabaran penghidupan khususnya cabaran untuk menanggung dan menyempurnakan amanah Allah yang telah dipikulkan ke atas mereka suatu tugas untuk martabatkan agama Allah melainkan dengan usaha berterusan mengharungi suatu perjuangan menentang segala halangan bagi meletakkan kegemilangan Islam di tengah penghidupan yang semakin mencabar.

Lebih-lebih lagi di hari-hari yang sedang kita lalui ini. Di mana umat Islam seolah-olah dijadikan mangsa kepada kegelojohan musuh-musuh Islam yang dari dulu mencari peluang untuk mengganyang umat Islam.

Suasana akhir-akhir ini, selepas tragedi 11 September 2001 seolah-olah menghalalkan untuk mengambil apa sahaja tindakan ke arah pengganyang umat ini dan sekaligus hendak membenarkan Islam itu dari terus wujud di maya pada ini.

Tetapi yakinilah wahai saudara yang seagama denganku bahawa Allah telah menjanjikan suatu 'madah' yang akan menjadi perangsang untuk pejuang-pejuang Islam khasnya di akhir-akhir Ramadan dengan ayat Allah yang bermaksud : "mereka itu musuh-musuh kamu hendak menghapuskan cahaya Allah, agama Islam dengan pelbagai usaha mereka tetapi Allah tidak membiarkan mereka berbuat demikian, dan Dia (Allah) akan menyempurnakan agama kamu dan memenangkan meskipun dibenci oleh orang-orang musyrikin."

Janji-janji seperti ini jelas diterangkan dalam al-quran seperti dalam surah Annur ayat 55 yang mafhumnya : " Allah berjanji dengan kamu yang beriman denganNya. akan diangkat mereka menjadi khalifah (pemerintah) seperti mana Allah telah mengangkat angkatan-angkatan sebelum daripada angkatanmu pemerintah bumi Allah dan pada ketika itu segala perkara huru hara yang berlaku akan digantikan dengan keamanan yang sebenar. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutuiNya. Dan sesiapa yang tidak percaya dengan janji sedemikian itu, mereka itu ialah orang-orang yang fasiq."

Oleh itu, maka Ramadan yang bakal tinggalkan kita ini amat berguna lagi kalau diisinya dengan pengorbanan harta benda bagi membantu perjuangan sebagaimana lambang kewajipan fitrah yang diwajibkan kepada setiap individu yang hidup sepanjang Ramadan hingga mencecah menemui awal Syawal.

Pun demikian keseluruhan umat Islam mengeluarkan kewajipan fitrah mereka pada beberapa hari terakhir Ramadan. Hampir berlaku orang yang semata-mata sengaja tidak tunggu kedatangan syawal barulah hendak menunaikan kewajipan zakat fitrah.

Amalan mengawali membayar zakat fitrah adalah petunjuk kepada wujudnya ibadah 'maliyyah' walaupun sedikit tetapi seboleh-bolehnya pengorbanan harta ini dibuat sebanyak yang mungkin bagi mengejar ganjaran yang sebanyak mungkin, lebih-lebih lagi jika sekiranya pengorbanan harta itu dilakukan pada malam Qadar atau setidak-tidaknya berlaku dalam bulan Ramadan.

Maka semuanya itu menyaksikan kita tergolong dalam golongan hamba-hamba Allah yang cukup beruntung memanafaatkan kedatangan Ramadan dengan amal-amal yang berguna untuk diri kita khususnya di saat kita menemui Allah di hari akhirat nanti.
Sumber: Dato' Dr Harun Din

No comments: