""Hidup beri kita beratus alasan utk menangis, Allah beri kita beribu kekuatan untuk tersenyum!.""

Tuesday, December 4, 2007

BERSEDERHANALAH DALAM PENAMPILAN

Ketika saya hendak membeli Majalah i keluaran bulan September 2007, saya berasa agak terkejut melihatkan hiasan dan penghias muka hadapan majalah tersebut. Sebelum ini, saya mengharapkan majalah 'Islamik' yang agak unik dari segi pengisiannya ini lain dari yang lain, atau luarannya pun lain dari yang lain, tidak menjadi ikut-ikutan pada kebanyakan majalah yang bertebaran di luar sana tu, yang menjadikan muka dan wajah wanita yang cantik, menarik dan tertarik sebagai daya penarik untuk orang ramai membeli majalah mereka.

Ternyata tanggapan saya meleset. Nampak gaya Majalah i pun sama sahaja dengan majalah-majalah seperti Nur dan Anis yang 'Islamik' dan 'Solehah'. Wajah wanita yang asalnya sudah cantik ditambah lagi dengan pelbagai 'bahan perisa' dan 'bahan pengawet' DIPERBESARKAN sebegitu rupa.Tidak cukup dengan wanita yang tidak menutup aurat dan tubuh badan wanita yang separuh bogel serta cukup menarik dengan hiasan kosmetiknya dijadikan penghias kulit majalah-majalah lain, majalah-majalah 'Islamik' juga tidak mahu ketinggalan zaman. Yang bezanya cuma pada tudung, baju dan kainnya yang menutup aurat.

Asasnya masih 'terjajah' dengan kaedah mengeksploitasi wanita untuk keuntungan duniawi.Memang benar Islam tidak menentukan fesyen dan tidak mengharamkan perhiasan selagi ianya tidak bertentangan dengan nas dan maqasid syariah. Tetapi Islam sangat menganjurkan kita bersederhana dalam semua perkara. Banyak kebaikan dan manfaat dari keburukan dan mudarat yang boleh diperoleh dengan cara bersederhana.Begitulah yang kita anjurkan kepada semua wanita Islam agar mereka bersederhana dalam penampilan. Ini agar mereka lebih dihormati, disegani dan mampu menundukkan nafsu mata lelaki yang memandang atau terpandang. Bahkan, wanita yang bersederhana dalam penampilan ini mampu meniup kemanisan iman ke dalam hati para lelaki yang berpenyakit hati.

Manakala jika wanita ini terlalu ingin bergaya, berfesyen dan berhias kerana ingin kelihatan cantik, menarik dan tertarik, maka mereka sendiri yang sedang mengundang bahaya pada diri mereka sendiri. Lelaki yang mempunyai penyakit hati -bahkan yang normal sekalipun- boleh naik nafsunya walaupun mereka rasa sudah menutup aurat dari segi asasnya.Lelaki akan menganggap wanita jenis ini boleh diusik, dikacau, diganggu, 'disiul', 'diayat', 'dihai-hai', 'dibye-bye' dan ditarik ke lembah hina.

Lagipun, bukankah wanita ini ingin kelihatan menarik dan tertarik sehingga menyebabkan diri mereka yang lemah itu ditarik oleh lelaki ini?Allah berfirman:"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" . (Al-Ahzab: 59)

Dalam satu forum internet, saya ada terbaca satu pandangan oleh seorang lelaki yang berbentuk luahan perasaan. Dia mengatakan bahawa dia agak terkejut kerana terpandang pada dinding bilik dan wallpaper komputer rakannya yang dihiasi dengan wajah dan diri wanita Islam yang menutup aurat -termasuk ustazah- yang penampilan mereka begitu dan terlampau bergaya, berfesyen dan berhias untuk kelihatan up to date.Malang sekali para suami -termasuk ustaz- kepada wanita-wanita ini begitu bangga sekali -secara tidak sedar- isteri dan anak perempuan mereka dijadikan bahan pemuas nafsu kaum sejenis mereka. Nampak gaya menutup aurat seperti ini tidak cukup menundukkan nafsu lelaki yang berpenyakit hati.

Allah berfirman:"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya". (An-Nur: 31)

Barat berjaya menyatakan pada seluruh dunia bahawa kecantikan fizikal dan luaran adalah segala-galanya. Kecantikan luaran dijadikan asas penilaian terhadap seseorang individu sama ada dia seorang yang mempunyai personaliti dan perwatakan menarik atau tidak. Wanita yang cantik dengan memakai gincu dan baju yang cantik dinilai sebagai berpersonaliti menarik.

Manakala wanita yang bersederhana, tidak bergincu, tetapi cukup bersih dan kemas, masih lagi tidak cukup untuk dinilai sebagai mempunyai personaliti menarik.Perkara ini bukan sahaja berlaku pada wanita, tetapi juga orang lelaki. Wanita Islam yang tetap setia dengan fesyen tudung labuh dan jubah serta tidak bergincu dipandang selekeh dan tidak up to date walaupun penampilan mereka kemas dan bersih. Lelaki muslim yang memakai serban, kopiah, jubah, baju raihan juga dipandang sinis oleh masyarakat dan dianggap sebagai tidak berpersonaliti menarik walaupun penampilan mereka kemas dan bersih. Yang menarik pada anggapan mereka hanyalah yang memakai kemeja, tali leher dan kot serta rambut gaya fesyen David Beckham dan Cristiano Ronaldo.

Itu belum termasuk dengan pelbagai alat kosmetik dan krim pencerah dan pemutih kulit yang secara tidak langsung MENGHINA kejadian asal ciptaan Allah. Bahkan, wanita-wanita yang sanggup dibayar lumayan sebagai jurucakap dan model pada alat kosmetik ini juga secara tidak langsung MENGHINA kaum sejenis mereka sendiri.Mereka sebenarnya ingin memberitahu kepada wanita bahawa "Anda tidak cantik atau belum cantik jika tidak bergincu" atau "Anda memang tidak cantik kerana Allah telah ciptakan anda berkulit gelap maka anda perlu gunakan krim pencerah dan pemutih kulit".

Cukuplah sudah berlambak wanita-wanita Barat dan Timur yang bukan Islam yang beriman dengan falsafah kecantikan seperti ini sanggup dibayar mahal dan lumayan untuk mendedahkan kecantikan dan perhiasan diri mereka. Cukuplah mereka ini sudah banyak menjadi fitnah dengan merangsang nafsu kaum lelaki yang akhirnya tewas secara sedar atau tidak. Tidak perlulah wanita Islam yang kelihatan menutup aurat- juga turut sama menjadi agen fitnah dan perangsang nafsu.Bersederhanalah dalam penampilan diri. Jadikan penampilan diri anda boleh meningkatkan iman orang lain yang memandang anda, bukan meningkatkan nafsunya.

Insya-Allah anda tidak termasuk di kalangan wanita yang dimaksudkan oleh Nabi SAW dalam hadis ini:"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)Sebaliknya, anda akan termasuk di kalangan wanita yang dimaksudkan oleh Nabi SAW:"Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah"

Bergayalah, berfesyenlah dan berhiaslah sepuas-puasnya di hadapan suami anda. Tetapi, di hadapan lelaki lain, bersederhanalah dalam penampilan. Dunia akan bertambah aman dan selamat. Apatah lagi di akhirat.

Sumber:www.mendidik.blogspot.com

No comments: