""Hidup beri kita beratus alasan utk menangis, Allah beri kita beribu kekuatan untuk tersenyum!.""

Monday, December 31, 2007

Mimpi hanya mainan tidur


BERTAHUN lamanya dia cuba merungkai mimpi yang dialami hampir setiap hari. Pening kepala dibuatnya. Sejak mula mengenali mimpi hingga ke usia belasan tahun, dia cuba mencari apakah `benda’ yang mengganggu lena tidurnya saban malam.

Memang hanya satu mimpi tapi mimpi itu hadir setiap hari dan membuatkannya sering resah gelisah. Mengapa ia harus mengganggu tidurnya setiap malam? Apakah mungkin mimpi cuba menyampaikan sesuatu kepadanya?

Satu hari, ketika berusia kira-kira 17 tahun, dia mendapatkan gambaran jelas mengenai mimpinya. Dia lemas terperangkap di dalam telur yang mentah, dikelilingi telur putih, dihimpit telur kuning yang likat dan berlendir.

Apakah maksudnya? Mungkinkah mimpi itu hadir kerana itulah kehidupannya yang sebenar, sering tersepit dan keliru atau sekadar satu mainan tidur? Apapun yang pasti, sejak `benda’ itu dikenal pasti, mimpi itu tidak pernah lagi menjenguk.

Pernahkah anda berhadapan perkara begini? Tidur malam diganggu oleh mainan mimpi yang adakalanya meresahkan atau anda biarkan mimpi berlalu untuk didatangi mimpi lain pada malam seterusnya?

Kenapa mimpi hadir? Seorang rakan, Yol, berkata adakalanya mimpi memberi kita petunjuk perjalanan kehidupan yang akan dilalui. Kerana itu, katanya, ada ketika, pada satu-satu masa dalam kehidupan sebenar, kita terasa-rasa seperti sudah melalui sesuatu keadaan itu...dejavu.

Saya tidak menafikan ada orang yang dikurniakan kelebihan mendapat petunjuk menerusi mimpi tapi yalah, kita pun tahu bukan sebarangan orang yang dikurniakan anugerah itu.

Entahlah tapi saya secara peribadi berpendapat mimpi - objek dan subjek, individu dan jalan cerita - sering hadir bila siangnya diri terlalu memikirkan objek, subjek, individu atau jalan cerita itu.

Lain padang, lain belalang, setiap orang ada pandangannya tersendiri mengenai kewujudan dan kehadiran mimpi. Malah, ada yang gemar mentafsir mimpi. Macam orang tua dulu-dulu, kalau mimpi dibelit atau dipatuk ular, tandanya ada orang nak masuk meminang. Kalau patah gigi, ada keluarga terdekat hendak meninggal. Betulkah?

Mungkin tak bila mimpi ular itu sebab siangnya kita banyak bercerita mengenai ular, tersempak dengan ular atau petandanya memang nak kena patuk dengan ular? Atau, mimpi patah gigi, sebab kita tengah sakit gigi. Sakitnya tak terperi, hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Kalau hendak ditafsirkan sesuatu mimpi, ditanya A, begini pandangannya, ditanya B, lain pula ceritanya. Boleh ada 1,000 versi rasanya dan kalau hendak bermimpi pun, tidak perlu menunggu malam hari. Siang-siang hari pun, mimpi menjenguk dan lebih parah, apabila bermimpi tanpa tidur.

Ini adik-beradik beranganlah namanya. Berkhayal. Tak hendak belajar tetapi mimpi hendak jadi pelajar terbaik; tak mahu bekerja dan berusaha tetapi mimpi hendak jadi kaya raya dan macam-macam lagilah benda yang diangankan tetapi tidak disertai usaha.

Lebih parah daripada mimpi yang hadir dalam tidur, bukan? Tiada faedahnya. Oleh itu, biarlah mimpi hadir daripada berangan tak sudah-sudah kerana mimpi hanya satu mainan tidur...satu kelebihan yang boleh dijadikan modal bercerita dengan rakan jika jalan ceritanya menarik atau mengerikan!!!

Selamat membaca...

Sumber:www.bharian.com.my

Ucu Lina: Semoga mimpi yang indah , jadi kenyataan pada tahun ini...dan mimpi yang buruk tidak menjadi realiti....SELAMAT TAHUN BARU 2008... TAHUN PERUBAHAN...Semoga Allah Taala memberi kita kekuatan menempuh segala rintangan hidup..dan melimpahkan rahmat dan hidayah kepada kita semua... AMIN..

No comments: