Wanita berhak pilih suami
Oleh Noriah Idris
Tidak salah letak syarat dalam memilih calon
JIKA lelaki boleh, mengapa kita menidakkan hak wanita? Mereka juga berhak menentukan lelaki yang bakal mencorak masa depan yang lebih bahagia,” kata Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain mengenai sejauh mana hak wanita dalam memilih suami.
Menurut penceramah bebas yang juga peguam syarie ini, tidak hanya lelaki malah wanita juga berhak menentukan jodoh.
“Pilih yang sekufu. Sekufu ini timbul apabila wujud unsur wali mujbir (pilihan keluarga) atau dalam erti kata lain, wanita tiada kuasa memilih atau menentukan siapa calon suaminya.
“Keluarga seperti ibu bapa atau datuk harus memilih demi memastikan calon lebih sekufu dengan perempuan. Dalam konteks ini, seseorang calon lelaki yang dipilih itu mestilah menepati kehendak wanita atau perempuan itu,” katanya.
Dalam masyarakat kini, sering dengar cerita lelaki mencari wanita dengan ciri tertentu seperti kaya, cantik dan berpendidikan sebagai tuntutan dalam merencanakan sesebuah rumah tangga.
Namun menurut Zaidi, wanita juga harus meletakkan syarat yang perlu menjadi keutamaan dalam memilih calon bersesuaian dengan diri mereka. Ini dilakukan dengan meletakkan agama sebagai pilihan teratas kerana menerusi pegangan agama yang kukuh saja mampu menjamin masa depan.
“Selain agama, wanita juga berhak memilih lelaki yang mempunyai harta. Bukan kerana mereka bersifat kebendaan tetapi itu tuntutan keperluan hari ini di samping tidak mengenepikan rupa paras. Ini kerana secara nalurinya, wanita juga menginginkan lelaki yang kacak atau sedap mata memandang.
“Wanita tidak harus dipersalahkan jika mereka mengutamakan keturunan yang baik atau tahap pendidikan lelaki berkenaan contohnya lelaki berpendidikan lebih tinggi atau setaraf dengannya.
“Kedua-dua aspek ini ada peranan tersendiri dalam menentukan masa depan yang bahagia. Bahkan Rasulullah saw juga bersabda mengenai perkara berkaitan dengan meletakkan ciri tertentu kepada pasangan kerana faktor yang dikatakan ini ada jaminan kebahagiaan,” katanya.
Baginya, tidak akan jadi baik sesebuah keluarga atau keturunan itu jika harta semata-mata menjadi pilihan dengan mengenepikan aspek yang dinyatakan tadi.
“Kalau dapat yang kacak, mungkin duit tak banyak. Kalau dapat yang kaya, rupa pula tak begitu menarik. Namun kalau ada agamanya, kalaupun tak kaya, tak mengapa. Mungkin ia lebih menenangkan jiwa justeru agama menjadi asas pertimbangan paling wajar dalam hidup berumah tangga.
“Kita tahu manusia tak sempurna namun dalam perkahwinan, mungkin ia dapat diperbaiki dari semasa ke semasa ke arah mencari kesempurnaan itu. Saya dapat katakan, aspek agama dilihat sama ada sebagai kekurangan atau kelebihan seseorang ibarat garam yang bakal melazatkan makanan yang dimasak dalam menggambarkan akrabnya hubungan pasangan,” katanya.
Dia turut mencadangkan supaya pasangan yang sekufu melakukan ‘persyarikatan’ dalam rumah tangga. Dalam erti kata lain, pasangan isteri harus bersyarikat dengan suami baik dari pelbagai segi termasuk idea, minat dan hobi dalam mencari hala tuju bersama.
“Mungkin jika wanita meminati perniagaan, mereka boleh mencari lelaki yang menceburi bidang korporat jika ingin mengikut rentak. Jika minat seni atau dekorasi, hendaklah dicari lelaki yang memang berada dalam bidang berkenaan.
“Tapi itu tak bermakna kalau tak mendapat lelaki mengikut kecenderungan yang dinyatakan, ia berakhir di situ saja. Mungkin wanita mahupun pasangan yang boleh mendorong minat ke arah apa yang disukai pasangan dalam usaha mendekatkan lagi fahaman yang menjadi resipi kebahagiaan,” katanya.
Situasi kini menyaksikan wanita yang memiliki tahap kerjaya lebih tinggi mungkin menjadi punca lelaki ‘takut’ mendekati mereka tetapi Zaidi menolak tanggapan ia menyebabkan peratusan wanita tidak berkahwin semakin bertambah.
Katanya, masyarakat mesti adil dalam memberi persepsi atau mencari punca segelintir wanita tidak berkahwin.
“Mereka dilabelkan sebagai anak dara tua. Secara amnya, semua wanita ada keinginan untuk berkahwin dan hidup bahagia, dikelilingi cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.
“Namun banyak faktor mereka tidak berkahwin. Antaranya, mungkin jodoh belum sampai, mengejar cita-cita serta tanggungjawab seperti menanggung masalah kewangan keluarga dan adik-beradik yang masih belajar.
“Untuk itu, jangan cepat melatah atau menuding jari. Siapa yang mahukan perkahwinan separuh jalan? Kes perceraian yang banyak berlaku hari ini antara puncanya mungkin tak sekufu. Oleh itu, tak salah wanita memilih bahkan berhak mencari yang sekufu demi jaminan masa depan terbaik,” katanya.
Mendasari sabda Rasulullah saw, dia merumuskan wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu kerana harta, kecantikan, nasab keturunan dan agama.
“Pilihlah wanita kerana agamanya nescaya engkau akan bahagia,” katanya.
Tip:CIRI lelaki beriman boleh dikenali menerusi ciri tertentu, antaranya:
· Secara kasar, keimanan boleh dilihat pada latar belakang pendidikan, baik secara formal atau sebaliknya. Tidak bermakna seorang lelaki beriman itu diukur menerusi pendidikan hingga mencapai ijazah di negara Timur Tengah, sebaliknya ia dapat dilihat menerusi amalan hidup seharian.
Mereka yang mendahulukan solat selain cara hidup yang tidak mengenepikan agama, sering menjadi penilaian wanita.
· Mengenal pasti keturunan sesebuah keluarga lelaki yang bakal menjadi pasangan dengan mengenali keluarga dan asal-usulnya. Boleh juga dirisik menerusi rakan, jiran sekampung dan seumpamanya.
· Jaminan kebahagiaan bukan terletak pada jumlah harta dimiliki tetapi jika wanita mendapat jodoh lelaki kaya, ia dianggap satu bonus.
· Rupa memberi ketenangan. Wanita boleh meletakkan ciri sendiri dalam konteks ketampanan suami kerana ia bersifat subjektif. Apapun, biarlah segala resah, bimbang dan duka si isteri hilang sebaik terpandang wajah suami yang redup dan tenang.
Sumber:www.hmetro.com.myUcu Lina : Artikel untuk tatapan semua & khusus untk ismienis. Minta maaf, Ucu Lina tak sempat nak balas e-mail,sibuk.Untuk tambahan ilmu sila dapatkan buku terbaru terbitan Jasmin, tajuknya : 47 kesilapan serius dalam perkahwinan.
No comments:
Post a Comment