Lelaki Duduk Rumah Wanita Kerja?
Yakinilah bahawa Allah SWT maha adil dalam menentukan tanggungjawab kepada lelaki dan wanita. Sememangnya Allah SWT memerintahkan kaum Hawa untuk menutup auratnya dengan begitu luas; ia bersesuaian dengan hukum Islam yang asal iaitu kerja mencari nafqah buat keluarga adalah merupakan tanggungjawab asas kaum lelaki yang disebut oleh Allah sebagai salah satu faktor "qiwamah"nya. Malah terdapat pandangan yang menyatakan lelaki yang gagal menyempurnakan tanggungjawab ini bukan kerana uzur adalah suami yang NUSYUZ.
Ini bermakna jika menurut hukum asal dalam Islam, haram hukumnya bagi lelaki yang sudah berumah tangga (tanpa sebab yang diktiraf Islam) tidak bekerja mencari nafqah, wanita tidak pula diharamkan untuk bekejra jika menjaga hukum yang ditentukan Islam. Jika wanita bekerja, pendapatan itu adalah milik mereka dan tiada sebarang tanggung jawab untuk memberi makan kepada suami kecuali atas dasar ihsan sahaja.
Adakah lelaki yang sudi memakan belas ihsan isteri? sedangkan lelaki dipenuhi dengan ego yang cukup tinggi secara puratanya. Saya sebut ihsan kerana ia BUKAN TANGGUNGJAWAB ISTERI untuk memberikan suaminya yang sihat tubuh badan untuk makan dan pakaian.!
Lelaki secara umumnya berbanding wanita, diberikan oleh Allah SWT lebih kemampuan fizikal, mental dan kemudahan dalam menutup aurat agar mudah ia ke hulu dan ke hilir mencari nafqah buat keluarganya. (Fatawa Az-Zarqa, hlm 290, cet Dar Al-Qalam)
"Habis ustaz nak orang perempuan duk rumah je la ni?" desak seorang wanita, sambil menjeling saya dengan jelingan kurang puas hati.
"jawapannya bukan semudah itu" jawab saya.
"Begini, saya kata ikut hukum asal yang Allah letak memang begitu, cuba bayangkan betapa sukarnya wanita bekerja hari ini untuk melaksanakan tugasnya dalam keadaan ‘senggugut', sakit perut, mengandung dan bersalin. Sekiranya ia telah menopos pula, sukarnya tiba-tiba perlu ke
"Mereka sepatutnya lebih dimuliakan dengan diberi kerehatan cukup di rumah sambil membina pimpinan dan generasi soleh masa depan, iaitu anaknya dan keluarganya" Ulas saya, walaupun saya tahu, isu ini amat panjang untuk dibincang serta amat sukar untuk memuaskan hati kaum wanita moden zaman ini.
Nabi SAW bersabda :
لأن تصلى المرأة في بيتها خير من أن يصلى في حجرتها , ولأن تصلى في حجرتها , خير من أن تصلى في الدار , ولأن تصلى في الدار خير من أن تصلى في المسجد
Ertinya : "Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di biliknya, dan menunaikannya di biliknya lebih baik dari menunaikannya di rumahnya, dan menunaikannya di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad, 6/371 ; Ibn Athir : Hasan 11/200 )
Hadith di atas jelas membuktikan betapa tempat yang sebaiknya bagi wanita untuk mendapatkan pahala terbesar adalah di rumahnya. Manakala, bidang institusi keluarga, pendidikan anak dan menjaga keamanan rumah tangga WAJIB TIDAK DIPANDANG REMEH, malah ia sebenarnya amat sukar, malah ia menyamai kepimpinan sebuah negara.
Pandangan remeh terhadapnya adalah kesilapan utama wanita moden zaman kini hingga terlalu berhasrat menjaga syarikat dan berbakti kepada negara sedangkan ; mendidik anak-anak dengan cemerlang adalah sumbangan terhebat kaum wanita buat Negara yang tidak mampu disaingi sama sekali oleh kaum lelaki. Wanita dikira silap apabila meletakkan 'standard' dan 'silibus' kejayaan lelaki (yang ditentukan Allah tentunya) sebagai 'standard' kejayaannya juga. Sedangkan, 'silibus' dan 'standard' kejayaan wanita adalah tidak sama dengan lelaki dalam banyak hal, saya tidak nafikan ada yang sama tetapi bukan dalam hal kerjaya.
Akibatnya berbondong wanita bekerja kerana menggangapnya sebagai satu KEJAYAAN dan kemuliaan baginya. Apabila kaum wanita hari ini didedahkan dengan pelbagai hadith Nabi berkenaan adab Islam yang perlu dituruti olehnya. Ramai yang merasakan ia seolah-olah mustahil dan tidak ‘up to date' sehinggakan dirasakan Nabi SAW tidak tepat dalam kata-katanya. Lebih buruk, adalah dituduhnya Nabi SAW bersikap ‘bias' atau berat kepada kaum lelaki, kerana baginda sendiri adalah lelaki. Lebih serius dari itu, yang menuduh Islam sudah ‘out dated'. La hawala wal quwwata Illa Billah.
Sumber:www.zaharuddin.net
No comments:
Post a Comment